Penyakit akibat durian.
Di kala ini, kawasan sekitar kami, khususnya di tempat kami di Muar dan Melaka sedang hangat dilanda musim buah durian. Merata-rata boleh dijumpai gerai-gerai menjual durian. Meriah susana sepanjang sisir jalan dipenuhi penjual serta pelanggan yang melakukan aktiviti berjual beli serta tawar menawar. Yang banyak dijual di sini adalah durian kampung, durian IOI (Hajah Hasmah D168), D13, serta Musang King, raja Kunyit D197.
Namun begitu, dalam keghairahan menikmati keenakan si raja buah, ada perkara pokok yang perlu diambil kira, iaitu dari segi kesan sampingan buah durian kepada manusia, khusunya mereka yang mempunyai masalah buah pinggang, darah tinggi dan kencing manis.
Kebetulan kami terjumpa perkongsian daripada Penjejak Rimba, , iaitu pandangan seorang doktor perubatan berkenaan buah durian. Jom sama-sama kita ambil manfaat daripada perkongsian beliau.
=================================================
PANDANGAN SEORANG DOKTOR MENGENAI DURIAN
Sejak seminggu dua ini, di hospital tempat saya bertugas, kami mendapati peningkatan kes-kes jantung (serangan jantung dan tekanan darah tidak terkawal), kencing manis (diabetis ketoacidosis dan paras gula tidak terkawal) yang sangat ketara. Saya sendiri selaku pegawai perubatan nefrologi (buah pinggang) menerima beberapa kes pesakit buah pinggang yang berkomplikasi sehingga ada yang terpaksa dihantar ke hospital besar, bahkan ada yang meninggal dunia.
“Makcik nak makan durian..dah sembilan tahun sejak dia disahkan menghidapi penyakit buah pinggang, dia tak pernah sentuh durian. Jadi semalam dia minta kat anak dia..makan seulas sahaja.. sedar-sedar pagi ini dah keletihan, sesak nafas, sakit dada.” ujar seorang gadis muda, sambil mengurut-urut dada ibunya yang laju.
Pesakit ini datang ke jabatan kecemasan dengan bacaan serum potassium setinggi 7.3. Rentak jantungnya (ECG) menunjukkan sinus arrest, dengan kadar denyutan jantung hanya 32 per minit. Hemodialisis kecemasan dilakukan, hanya menurunkan bacaan serum potassium untuk sementara sahaja sebelum kembali meningkat.
Beliau meninggal dunia akibat kegagalan jantung (cardiogenic shock).
POTASSIUM
Ada banyak jenis mineral dan garam galian yang diperlukan oleh badan manusia. Kalsium, fosfat, magnesium, potassium, sodium adalah diantaranya. Kesemua galian dan garam mineral ini, dikawal kandungan dan kuantitinya oleh buah pinggang kita. Tidak boleh terlalu kurang, dan tidak boleh terlalu lebih.
Potassium, adalah sejenis bahan galian dan unsur elemen yang penting bagi tubuh manusia. Ia bertanggungjawab ke atas fungsi otot untuk mengecut (contraction). Kekurangan potassium, dipanggil hypokalemia, contohnya disebabkan muntah atau cirit birit yang berterusan boleh menyebabkan seseorang menjadi lemah, sengal dan lenguh seluruh badan, cramping dan muscle ache (myalgia).
Terlebih potassium pula, dipanggil hyperkalemia, boleh membahayakan nyawa kerana ia mengganggu fungsi contraction otot jantung. Hyperkalemia, adalah sebuah medical emergency yang perlu dirawat SEGERA, kerana ia boleh menyebabkan cardiac arrhythmia bahkan asystole.
Bagi orang yang mengalami kegagalan fungsi buah pinggang, khususnya end stage yang bergantung kepada dialisis, mereka ini tidak lagi boleh menghasilkan air kencing. Tubuh badan mereka tidak lagi boleh mengeluarkan bahan-bahan kumuh yang antaranya terdiri daripada garam mineral dan zat yang berlebihan ini. Dalam kes ini, potassium.
Umum mengetahui, bahawa antara makanan yang paling banyak mengandungi potassium, adalah pisang. 100 gram pisang, mengandungi 358 mg potassium. Yang keduanya, adalah sayur bayam (spinach). 100 gram bayam mengandungi 558 mg potassium.
Namun tak ramai yang mengetahui, dua jenis buah-buahan tempatan kita sebenarnya mempunyai kandungan potassium yang tinggi. 100 gram durian mengandungi 436 mg potassium, iaitu lebih tinggi dari pisang. Begitu juga dengan nangka, 100 gram nangka mengandungi 448 mg potassium, lebih tinggi dari keduanya.
Atas sebab itulah, saya menggesa kepada anda yang mengenali sesiapa sahaja sama ada ahli keluarga, jiran mahupun rakan yang menghidapi penyakit kerosakan fungsi buah pinggang, khususnya yang bergantung kepada dialisis, agar BERPANTANG buah-buahan ini. Ia boleh meragut nyawa mereka.
BERPANTANG dalam erti kata mengurangkan atau kalau boleh, berhenti terus pun tak apa. Mungkin sekali sekala hanya dalam kuantiti yang sedikit, bukannya sekaligus. Secara kasarnya, pesakit buah pinggang tetap memerlukan dietary potassium yang mencukupi, iaitu sekitar 1500 ke 2000 mg sehari. Pendek kata jika pesakit mahu makan durian, maka kurangkan makanan high potassium lain seperti yang dinyatakan di atas.
Jangan pula tengahari sudah makan gulai nangka, malamnya hendak menjamah durian pula!
Saya kongsikan di sini, sebuah case study yang berlaku di sebuah hospital di tanah air.
Bahkan sebenarnya, KURMA yang kita selalu makan, mengandungi kandungan potassium yang jauh lebih tinggi. 100 gram kurma mengandungi 656 mg potassium, hampir dua kali ganda pisang.
Cumanya, kita lazimnya jarang mengambil kurma dalam kuantiti yang banyak mencecah 100 gram. Kita biasa makan ketika berbuka puasa dalam jumlah kiraan ganjil sahaja, kerana itu ia jarang memberi kesan kepada kita.
Namun awas, kerana mutakhir ini ada banyak produk yang memproses kurma. Ada yang dijadikan jus yang sudah tentu memekatkan konsentrasi potassium yang ada didalamnya. Ada yang menjadikannya cokelat, ada yang diproses dalam minuman seperti kopi dan sebagainya.
Tapi, kurma kan makanan Nabi? Makanan “sunnah”? Mustahil lah ia boleh bawa keburukan.
“Itula dengar sangat cakap doktor ni, doktor ni semua kan belajar ilmu dari yahudi, sampai tak reti nak bezakan mana sunnah. ”
Dalam bidang toksikologi, kita ada sebuah prinsip asas yang dipanggil sola dosis facit venenum, bermaksud “the dose makes the poison.”
Kita juga ada dalam bidang farmakologi, sebuah subbidang khas dipanggil farmakokinetik yang mengkaji tentang bagaimana tubuh badan manusia memproses setiap bahan khususnya ubat-ubatan.
Setiap tubuh badan manusia secara individu, mempunyai kapabiliti tersendiri memproses setiap bahan yang ada.
Bagi manusia yang sihat seperti kita, habiskan sebijik durian pun tak apa. Kerana buah pinggang kita sihat, ia boleh mengkumuhkan dan membuang potassium berlebihan.
Tetapi bagi pesakit ESRD, ini tidak boleh bagi mereka. Mereka tidak boleh mengkumuhkan potassium, sebab itulah hatta seulas durian pun boleh membahayakan nyawa mereka.
Begitu juga dengan pesakit ESRD dan kegagalan fungsi jantung. Mereka ini, PANTANG air berlebihan.
Air, benda yang bagus bagi manusia. Bahkan kita digalakkan meminum sehingga 4 litre air sehari.
Tetapi ini, tidak benar bagi pesakit ESRD dan CCF. Mereka ini, hanya dibenarkan meminum sekitar 500ml air sahaja. Sekiranya lebih, air ini tidak dapat dikumuh keluar dan akan berkumpul di kaki sembab, bahkan sehingga ke paru-paru menyebabkan sesak nafas.
Begitu juga contoh seterusnya, nasi untuk pesakit kencing manis. Benar, nasi tu makanan berkhasiat dan berzat. Namun sudah tentulah pesakit kencing manis, tidak boleh mentekedarah nasi seperti orang sihat.
Atas sebab itulah, saya mengambil kesempatan ini menyeru kepada kita semua, agar BERHATI-HATI dengan sesetengah pihak yang bermotifkan keuntungan menjual “bahan-bahan beracun.”
Mereka ini mengambil kesempatan atas keterdesakan dan atas nama “ikhtiar” seorang pesakit, serta memanipulasi dan memomokkan dengan ketakutan ke atas “bahan kimia”.
Bahkan ada yang sanggup menggunapakai nama agama. Arwah seorang ahli keluarga saya sendiri, antara yang terpedaya, mengamalkan “kopi habbatussauda” kerana terpengaruh dengan dakwaan penjualnya bahawa ia mampu menyembuhkan penyakit darah tinggi yang dihidapinya. Beliau dihasut dengan dakwaan ubat hospital tidak boleh menyembuhkan, boleh menyebabkan kerosakan buah pinggang dsb, dan disuruh mengamalkan ‘perubatan sunnah’ iaitu habbatussauda. Kesudahannya, kombinasi darah tinggi yang tidak terkawal dan faktor pengambilan kaffein yang berterusan, beliau meninggal dunia akibat strok (angin ahmar).
Berhati-hatilah dengan apa sahaja yang dipanggil “natural” kerana apa yang “natural” bagi seorang, mungkin menjadi “pathological” bagi seorang yang lain.
Dapatkan nasihat doktor YANG MERAWAT ANDA, bukannya orang sebarangan, hatta saya sekalipun sering ditanya di FB “bolehkah saya ambil supplemen ini”, saya tidak akan menjawabnya kerana saya tidak mempunyai maklumat mengenai kesihatan orang yang bertanya. Saya tidak tahu fungsi buah pinggang anda normal atau tidak, fungsi hati anda ok atau tidak, apa masalah kesihatan yang anda ada.
Akhir kata, orang yang bertanggungjawab atas kesihatan anda, first and foremost adalah diri anda sendiri. Justeru buatlah pilihan yang selamat dan letakkanlah kepercayaan kepada orang yang betul. Kerana in the end, yang akan menanggung kesannya, adalah anda sendiri.
===========================================
Searches related to penyakit akibat durian
kesan makan buah durian,
setelah makan durian tidak boleh,
yg tidak boleh setelah makan durian,
akibat makan durian saat perut kosong,
penawar setelah makan durian,
efek minum kopi setelah makan durian,
manfaat makan durian,
setelah makan durian bolehkah minum obat??,
efek makan durian saat haid,